Thursday, December 27, 2007

Resepi Sup Gearbox

Bahan-bahan

200g pes sup adabi
1liter air rebusan tulang(stok)
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Gearbox yg telah direbus

Cara Menyediakannya

Masukkan pes ke dalam air rebusan tulang dan biarkan sehingga mendidih di atas api yang perlahan. Masukkan Gearbox dan biar selama lebih kurang lima minit atau sehingga mendidih. Angkat Gearbox dan hias menggunakan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.

Selamat Mencuba.

Wednesday, December 19, 2007

Petua Menghilangkan Gatal Keladi

Keladi yang tidak kena cara menguruskannya pasti akan mendatangkan rasa gatal apabila dimakan. Petua ini dapat menghilangkan gatal keladi yang hendak dimakan.

Potong keladi mengikut saiz yang hendak dimasak, rendamkan keladi tadi didalam air asam jawa selama lebih kurang satu jam. Selepas itu, bilaslah dengan menggunakan air yang bersih. Kemudian masak keladi seperti biasa. Keladi yang dimasak pasti tidak akan mendatangkan kegatalan.

Insyaallah.

Sunday, December 16, 2007

Petua Perbaiki Perjalanan Darah

Kadang kala badan kita terasa sakit-sakit atau sengal-sengal. Ini adalah disebabkan darah yang mengalir di dalam badan kita mungkin tersekat kerana banyak melakukan kerja yang berat. Ikutilah petua ini agar perjalanan darah dapat dilancarkan semula.

Mula-mula, potong kecil beberapa helai daun lidah buaya yang sudah cukup tua, kemudian rebuskan daun lidah buaya tadi dengan tiga air cawan. Rebus sehingga mendidih dan biarkan sehingga suam-suam kuku. Tapis air rebusan tadi dan minum. Amalkan meminum air rebusan itu sebanyak dua kali sehari. Insyaalah perjalanan darah yang tersekat dapat dilancarkan semula.

Cubalah petua ini.

Friday, December 14, 2007

Urutan Refleksologi - Nyahkan Toksin Dalam Tubuh

Refleksologi membabitkan urutan pada 62 titik utama yang ada pada tapak kaki seseorang. Semua titik berkenaan mempunyai hubungan dengan organ utama pada tubuh manusia. Apabila seseorang itu berasa penat dan letih, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada sistem tubuh mereka. Jika tubuh seseorang itu mempunyai masalah, mereka biasanya berasa sakit walaupun tekanan yang lembut dikenakan pada bahagian tertentu di tapak kaki. Oleh itu, refleksologi adalah salah satu dari cara untuk memulihkannya kerana selain dari berkesan ianya juga murah.

Kaitan Antara Tubuh Manusia Dengan Urutan Kaki(Refleksologi)

Ramai diantara kita tidak tahu apa kaitan urutan kaki dengan kesihatan tubuh manusia. Sebenarnya, semua toksin yang tidak dapat dinyah keluar daripada badan berkumpul pada kaki, apabila urutan dibuat, toksin akan mengalir dan keluar melalui sistem perkumuhan. Teknik refleksologi yang dibuat secara berjadual misalnya seminggu sekali, bukan sahaja dapat mengeluarkan toksin di dalam badan tetapi dapat juga meringankan kaki yang lenguh.

Bagaimana Toksin Terjadi

Merokok

Memakan daging merah yang diawet atau disejukbeku

Radiasi daripada alatan elektronik. Contohnya komputer, h/phone & televisyen

Memakan sayur-sayuran dan buah-buahan yang diawet dengan bahan kimia

Amalan memakan makanan segera, berlemak, perisa tambahan, bahan pengawet & pewarna tiruan di dalam makanan dan minuman.


Kelebihan Refleksologi

Menyeimbangkan kedudukan badan

Mengurangkan rasa letih

Menguatkan otot kaki

Mengurangkan masalah usus

Menguatkan tulang

Mengurangkan masalah pada bahagian peranakan

Mengurangkan risiko tulang reput

Melancarkan pengaliran darah

Mengelakkan risiko sembelit

Mengurangkan risiko sakit sendi

Meningkatkan daya tahan individu

Mengurangkan risiko kencing tidak lawas


Info Kaki : Kaki mempunyai 26 tulang, 57 sendi, 107 ligamen dan 19 otot.


P/S: Mereka yang mengamalkan urutan refleksologi ini juga disarankan agar meminum banyak air agar toksin yang terdapat di dalam badan dapat dikeluarkan secara peluh atau air kencing.

Wednesday, December 12, 2007

Petua Menghaluskan Kulit Muka

Kulit muka yang agak kasar pasti tidak akan menggembirakan terutama sekali kepada golongan muda mudi. Sila ikuti petua ini.

Kupas sebiji kentang dan basuh sehingga bersih, Hiris kentang tadi dan tekapkan dibahagian muka. Biar sehingga kering dan bilas muka dengan air bersih. Amalkan pada waktu malam. Petua ini bukan sahaja dapat menghaluskan kulit muka yang kasar tetapi juga dapat mencerahkan kulit anda.

Selamat Mencuba.

Sunday, December 9, 2007

Petua Lebatkan Rambut

Ramai dikalangan wanita kini mengalami masalah keguguran dan rambut yang jarang. Oleh itu, ikutilah petua ini agar rambut yang gugur atau jarang dapat dielakkan dan menjadi lebat semula.

Tumbuk beberapa helai daun pandan sehingga hancur, kemudian masukkan sedikit air dan perah daun pandan yang telah hancur tadi didalam bekas yang bersih. Campurkan air perahan daun pandan tadi dengan semangkuk santan. Kacau campuran tadi dan simpan semalaman.

Sapukan campuran air pandan dan santan ke kepala di kawasan yang mempunyai masalah dan biarkan selama setengah jam. Selepas setengan jam, bilas rambut dengan air bersih. Gunakan campuran santan dan air pandan setiap hari. Anda akan dapat melihat hasilnya selepas satu minggu.

Diharap petua ini dapat membantu agar rambut yg gugur atau jarang dapat dilebatkan semula.

Insyaallah.

Friday, December 7, 2007

Gaya Rambut Mengikut Bentuk Wajah Anda

Potongan rambut amatlah penting bagi wanita kerana rambut adalah mahkota semulajadi bagi wanita. Oleh itu, gaya rambut yang sesuai mangikut bentuk wajah amatlah penting agar fesyen yang digayakan kena pada tempatnya.

Disini saya sertakan beberapa tips panduan memilih gaya rambut mengikut bentuk wajah anda.

Bentuk Bulat

Bentuk wajah bulat tidak boleh menggayakan gaya rambut sebarangan kerana silap gaya ia boleh membuatkan wajah tembam bertambah tembam. Untuk wajah kelihatan tirus, pastikan rambut tidak terlalu kembang atau cuba potongan bertingkat mengikut bentuk wajah. Elakkan memotong rambut pada paras dagu.

Bentuk Hati

Selalunya bentuk wajah begini mempunyai dahi yang luas dengan bentuk wajah tirus ke bawah. Bagi memberi bentuk wajah yang seimbang, cuba potongan panjang mengikut tepi muka atau potong rambut ke depan mencecah kening bagi menutup sebahagan dahi.

Bentuk Bersegi

Wajah yang bersegi mempunyai garis rahang yang agak jelas. Cuba potongan rambut kerinting atau berombak kerana ia amat sesuai dengan bentuk wajah begini.

Bentuk Oval

Bagi mereka yang memiliki wajah berbentuk oval, tidaklah perlu risau kerana semua gaya rambut sesuai dengan pemilik wajah begini.

Itulah dia beberapa tips panduan gaya rambut mengikut bentuk wajah anda. Diharapkan panduan ini dapat membantu anda agar gaya rambut yang digayakan sesuai dengan bentuk wajah anda.

Wednesday, December 5, 2007

Resepi Rendang Tok

Bahan-bahan

3 sudu besar minyak kelapa
1 kg daging lembu - dipotong dadu
500ml santan
200g kerisik
20g gula melaka
Garam secukup rasa

Bahan 1

60g bawang besar - dikisar
40g bawang putih - dikisar
40g cili kering - dikisar
30g halia - dikisar
30g serai - dikisar
20g lengkuas - dikisar
20g kayu manis

Cara Menyediakannya

Tumis semua bahan 1 sehingga pecah minyak dan naik baunya. Masukkan daging lembu, santan, kerisik, gula melaka dan garam. Didihkan sehingga kering dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, December 1, 2007

Petua Hilangkan Bau Hanyir Pada Tangan

Ikan yang disiang pasti akan meniggalkan bau yang hanyir pada tangan anda. Ikutilah petua ini agar tangan anda tidak lagi berbau hanyir selepas menyiang ikan.

Kebiasaannya kita pasti akan menggunakan sabun untuk menghilangkan bau hanyir tersebut, apa yang kita tidak tahu, serbuk teh juga dapat menghilangkan bau ini. Ambil segenggam serbuk teh dan lumurkan pada tangan anda. Selepas itu, gosokkan serbuk teh tersebut pada tangan anda dan bilas menggunakan air bersih. Bau hanyir tersebut pasti akan hilang.

Insyaallah.