Wednesday, February 20, 2008

10 Sebab Mengapa Anda Patut Berhenti Merokok

Walaupun kesan dan akibat dari merokok diketahui oleh kebanyakan perokok tetapi mereka masih lagi sanggup menghisap asap tersebut dan membakar duit mereka begitu sahaja. Mungkin di zaman muda anda ia adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi apabila kesan dan akibat dari merokok ini mula timbul, penyembuhan adalah sesuatu yang menyiksakan bagi anda. Oleh itu, fikirkanlah untuk berhenti!

1. Aktiviti sistem saraf dan otak anda memang akan distimulasi tetapi untuk jangka waktu yang singkat sahaja sebelum ianya berkurangan dan mati.

2. Perokok mungkin akan mengalami kesan seperti mata berair, pening-pening, rasa loya dan mual serta kelebihan asid dalam perut.

3. Selera makan, deria rasa dan bau juga akan menjadi semakin lemah.

4. Merokok semasa kehamilan boleh memberi kesan kepada bakal bayi anda seperti kelahiran pramatang dan berat badan yang tidak normal.

5. Perokok pasif (orang yang menghidu asap rokok dari perokok sebenar) berhadapan dengan risiko untuk mendapat kerosakan paru-paru, kanser dan penyakit jantung.

6. Berisiko untuk mendapatkan penyakit pada sistem pernafasan seperti paru-paru berair dan penyakit bronkitis.

7. Berisiko untuk diserang penyakit jantung dan saluran darah tersumbat.

8. Juga berisiko untuk dijangkiti oleh kanser pada anggota badan anda seperti paru-paru, tekak, mulut, buah pinggang, hempedu, saluran peranakan, perut dan saluran kencing.

9. Kesan dari sebatang rokok dengan serta merta boleh menaikkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung anda. Ia secara tidak langsung mengurangkan aliran darah ke anggota lain badan seperti bahagian jari-jari dan kuku kaki anda.

10. Jika anda adalah ketua keluarga terutamanya, merokok mempunyai kesan yang amat serius kepada orang disekeliling anda. Bukan sahaja ia menjadi contoh yang buruk terhadap anak-anak anda malah ia boleh mengganggu aktiviti seks anda.

Dambakan diri anda kepada sesuatu hobi atau aktiviti yang sihat dan berfaedah adalah salah satu cara yang berkesan untuk merubah tabiat merokok anda. Ingatlah….. setiap langkah perubahan yang anda lakukan walau sekecil manapun pasti akan memberi makna yang pada suatu masa nanti akan anda hargai.

Thursday, February 7, 2008

Penjagaan Kanta Lekap

Wanita kini serba moden dan berkeyakinan tinggi. Kalau dahulu, bagi mereka yang rabun penggunaan cermin mata adalah satu cara untuk mengatasinya dan ada yang berpendapat penggunaannya boleh mengurangkan tahap keyakinan diri serta kurang ‘cantik’. Tetapi kini dengan teknologi yang canggih dan serba maju, kita boleh ‘menyorokkan’ rasa kekurangan diri kita disebalik sesuatu yang dipanggil kanta lekap. Mari kita ikuti beberapa cara mudah penjagaan kanta mata ini.

1. Cuci dan bilas tangan anda dengan sabun sehingga betul-betul bersih sebelum mengendalikan kanta lekap anda.

2. Untuk mengelakkan kanta lekap anda daripada bercampur aduk, pastikan anda lakukan satu persatu samada semasa anda memakainya ataupun hendak menanggalkannya.

3. Jangan sesekali menggunakan bahan lain selain dari cecair serbaguna yang telah disarankan untuk mencuci kanta lekap anda.

4. Pastikan anda tidak lupa untuk menanggalkan kanta lekap anda sebelum tidur.

5. Bersihkan kanta lekap anda setiap kali anda menanggalkannya.

6. Jangan sesekali berkongsi kanta lekap anda dengan orang lain!!

7. Jangan berenang atau berendam di dalam air tanpa membuka kanta lekap anda.

8. Jangan menggunakan kanta lekap anda jika anda ingin pergi ke kawasan yang berhampiran dengan haba dan wap yang boleh menyebabkan kegatalan pada mata anda.

9. Pastikan botol yang menyimpan cecair serbaguna anda ditutup dengan ketat dan buang botol yang telah habis tempoh tarikh luputnya.

10. Juga pastikan muncung botol cecair serbaguna anda tidak disentuh dengan permukaan lain (termasuk jari, mata atau kanta) selain daripada penutupnya sahaja.

Oleh itu, pastikan anda mengamalkan langkah-langkah mudah ini apabila hendak mengendalikan kanta lekap anda. Ini bagi mengelakkan kesan dan akibat yang tidak diingini daripada berlaku kepada mata anda. Mata adalah ‘dunia’ kita!!!!

Tuesday, February 5, 2008

Tip Mencapai Bentuk Badan Idaman

Setiap wanita pasti menginginkan bentuk badan yang menarik tetapi dengan cara yang 'sihat'. Apa kata kita jadikan tahun 2008 ini sebagai titik permulaannya. Di sini terdapat beberapa tip yang boleh anda ikuti untuk 'berubah'!!!!

  • Tentukan matlamat dan keutamaan anda.
  • Menari...tarian boleh memberi anda ketenangan. Dalam masa yang sama, berat badan anda akan berkurang disamping membina stamina diri.
  • Amalkan gaya postur badan yang betul. Jangan terlalu membongkok kerana ia boleh menyebabkan perut menjadi buncit.
  • Belai dan 'manjakan' diri anda di spa selepas bersenam kerana ia dapat memberikan ketenangan kepada fikiran, badan dan semangat anda.
  • Tingkatkan keupayaan diri anda dengan melakukan amalan yoga dan pilates.
  • Gerakkan setiap anggota badan anda pada setiap hari yang berlainan. Dengan cara ini, otot-otot anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk sembuh .
  • Mulakan senaman peringkat demi peringkat. Jangan terus berlari tetapi mulakan dengan berjalan kaki. Dengan itu, otot-otot anda tidak akan 'terkejut'.
  • Tidak perlu beli peralatan senaman yang mahal-mahal. Gunakan apa yang ada di sekeliling anda secara kreatif.
Memang bersenam bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkerjaya.Begitu juga untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik. Oleh itu, 'curi' sedikit masa berharga anda dan luangkan untuk bersenam walaupun dengan hanya berjalan kaki atau berlari setempat di dalam bilik. Hasilnya nanti bukan sahaja bentuk badan anda kelihatan menarik tetapi juga tahap kesihatan anda akan bertambah baik.